Pada 16 April 2025, satu lawatan industri telah diadakan ke Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) oleh wakil akademik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Lawatan ini melibatkan beberapa orang pensyarah yang diketuai oleh Profesor Sr Dr Zulkiflee Abd Latif, Dekan (P&I), Kolej Pengajian Alam Bina bagi menjalin hubungan strategik antara dunia akademik dan industri, khususnya dalam bidang infrastruktur dan teknologi pengangkutan.
JKSB merupakan entiti yang menguruskan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (jambatan kedua Pulau Pinang), salah satu projek infrastruktur mega negara. Lawatan ini menjadi platform penting untuk perbincangan dua hala, pemindahan ilmu serta penerokaan potensi kerjasama masa hadapan.
Wakil daripada JKSB diketuai oleh Encik Hussin Mohammad, Ketua Division Operasi JKSB, Ir. Yulinar Bte Ismail, Pengurus Kanan Jabatan Penyelenggaraan JKSB, Puan Siti Hasliza Abdul Rashid, Pengurus, Pejabat Ketua Divisyen Operasi JKSB dan Encik Mohd Najib Abdul Rahman, Ketua Unit Jabatan & Lebuhraya JKSB.
Delegasi UiTM telah membentangkan kepakaran dan potensi penyelidikan yang boleh ditawarkan kepada pihak industri manakala pihak syarikat JKSB berkongsi maklumat berkaitan operasi pengurusan jambatan.
Para peserta telah dibawa melawat ke bilik pemantauan utama dan diperlihatkan penggunaan teknologi AI dan kamera pintar. Hasil dari pemerhatian dan penilaian, penggunaan teknologi AI dalam sistem pemantauan jambatan adalah antara yang paling menonjol, pemantauan setiap struktur jambatan dilakukan secara sistematik dan teliti, pengurusan jambatan yang cekap dan profesional serta keterbukaan JKSB terhadap kerjasama dan pembangunan modal insan serta R&D.
Lawatan ini telah berjaya membuka ruang perbincangan dan pemahaman mendalam tentang peranan industri dalam menyokong pembangunan negara, terutamanya dalam bidang infrastruktur. Ia juga membuktikan bahawa kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan sektor industri adalah amat penting bagi menangani cabaran semasa serta menjamin pembangunan yang mampan. Pihak UiTM melihat lawatan ini sebagai satu titik permulaan yang positif ke arah jalinan kerjasama lebih erat, khususnya dalam aspek penyelidikan bersama, latihan kemahiran, dan pemindahan teknologi.
Antara cadangan yang telah dikemukan daripada hasil lawatan ini adalah:
a. Mewujudkan pasukan khas antara UiTM dan JKSB bagi meneroka projek R&D bersama.
b. Menganjurkan bengkel berkala antara akademia dan industri.
c. Memperluas penyertaan kepada pelajar.
d. Memperincikan bidang kepakaran dari UiTM yang boleh terus diintegrasikan dalam keperluan industri.
Disediakan oleh:
Mohd Noor Azliy Abdullah
Penolong Pendaftar
Research Management Center (RMC)