UITM PERKUKUH JALINAN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA NCER DI PULAU PINANG

UITM PERKUKUH JALINAN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA NCER DI PULAU PINANG

Pada 16 April 2025, delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Pulau Pinang. Lawatan ini bertujuan meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan dan inovasi serta pembangunan bakat dan industri yang dapat memberi impak kepada pembangunan sosioekonomi negara khususnya di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak).

Lawatan ini dirangka bersempena Mesyuarat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) bersama Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Timbalan Dekan (Penyelidikan & Jaringan Industri) dan Timbalan Rektor (Penyelidikan & Jaringan Industri) (MeTPI-13) 2025 yang diadakan pada 14 hingga 18 April 2025 di Pulau Pinang pada tahun ini.

Delegasi UiTM turut disertai oleh Pengurusan Kanan daripada Jabatan Penyelidikan dan Inovasi meliputi Pengarah-pengarah Bahagian, HICoE dan CoE dari pelbagai bidang kepakaran. Delegasi UiTM telah disambut mesra oleh Datin Shahdee binti Dato' Ahmad, Pengarah Jabatan Ekosistem Perniagaan bersama barisan Pengurusan Kanan daripada Jabatan Ekosistem Perniagaan dan Jabatan Pelaburan NCER.

Sesi ini membuka ruang kepada perkongsian idea serta penawaran nilai yang boleh disumbangkan oleh UiTM dalam memperkasa ekosistem penyelidikan dan inovasi di peringkat wilayah dan nasional. Pihak NCER turut berkongsi fokus utama organisasi dalam merangsang pelaburan, membangunkan industri berimpak tinggi serta memperkukuh pembangunan modal insan melalui pelbagai program NCER Entrepreneur Sustainable Transformation (NEST) Programme dan Advanced Technology Meister Programme (ATMP).

Antara perbincangan utama yang dibangkitkan termasuklah potensi kerjasama dalam penyelidikan yang sejajar dengan keperluan industri di NCER, pembangunan teknologi baharu, serta pemadanan kepakaran UiTM dengan projek pembangunan NCER dalam sektor seperti pembuatan bernilai tinggi, pertanian moden, dan teknologi mampan. UiTM turut menyatakan komitmen untuk memainkan peranan aktif dalam menyokong agenda pembangunan wilayah menerusi kepakaran akademik dan penyelidikan yang dimiliki.

Lawatan ini mencerminkan usaha berterusan UiTM dalam menjalin hubungan strategik dengan agensi kerajaan dan industri demi memperluas impak penyelidikan kepada masyarakat serta meningkatkan ketampakan universiti di peringkat nasional. Kerjasama ini diharap dapat dimeterai secara rasmi dalam masa terdekat melalui inisiatif yang bakal direncana dan diharap memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.

 

Disediakan oleh:
Muhammad Adib Ibrahim
Penolong Pendaftar
Jabatan Penyelidikan & Inovasi

 

 
 

Contact Us

Jabatan Penyelidikan & Inovasi
Aras 5,
Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA

 

Tel: 603- 5544 2004  
E-mail : jpi@uitm.edu.my
Hour: 
8.00am - 5.30pm