Pada 6 Mei 2025, saya telah berkesempatan menghadiri Majlis Pelancaran dan Sidang Media Program INNOVATHON Musim Ketiga Tahun 2025 bertempat di Atelier Hall, Le Meridien Putrajaya. Kehadiran saya adalah mewakili UiTM, bagi menyatakan sokongan universiti terhadap inisiatif pembangunan inovasi yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Majlis bermula sekitar jam 2.30 petang dengan ketibaan, YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Setelah nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa, majlis diteruskan dengan ucapan daripada YB Menteri. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program INNOVATHON bukan sekadar sebuah pertandingan inovasi, tetapi merupakan satu platform penting untuk membudayakan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan masyarakat. Beliau turut berkongsi kejayaan penganjuran musim kedua yang mencatatkan lebih daripada 26 juta tontonan menerusi siaran di Astro dan RTM, sekaligus membuktikan bahawa program ini mempunyai jangkauan yang luas dan impak yang besar kepada masyarakat.
YB Menteri turut menekankan bahawa inovasi bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan nasional. Program seperti INNOVATHON diharap dapat mencetus minat yang lebih mendalam terhadap STEM dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda. Gimik pelancaran turut diadakan, di mana YB Menteri meletakkan tapak tangan beliau ke atas skrin interaktif, disusuli dengan tayangan video pendek yang memperkenalkan INNOVATHON musim ketiga.
Semasa sesi sidang media, YB Menteri menjawab soalan daripada wakil media berkenaan rasional meneruskan program ke musim ketiga. Beliau menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan impak besar yang telah dicapai dalam musim-musim terdahulu. Beliau turut menyatakan bahawa program ini berfungsi sebagai jambatan penting yang mempertemukan inovator dengan pelabur berpotensi. Ini sejajar dengan usaha kementerian untuk menghayati dan merealisasikan tagline MOSTI, iaitu Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi.
YB Menteri menzahirkan harapan agar penganjuran kali ini akan mencapai jumlah penonton yang lebih besar serta memperlihatkan tahap inovasi yang lebih tinggi, termasuklah potensi komersialisasi yang lebih memberangsangkan.
Sebagai nilai tambah kepada peserta, tokoh ternama tanah air, Dato’ Aznil Haji Nawawi yang dilantik sebagai mentor program, turut memberikan beberapa nasihat penting kepada peserta. Beliau menekankan bahawa produk yang dihasilkan hendaklah benar-benar inovatif, memberi manfaat langsung kepada rakyat serta disertai dengan model perniagaan yang mantap.
Secara keseluruhannya, kehadiran ke majlis ini memberikan pendedahan yang signifikan berkenaan hala tuju strategik MOSTI dalam memperkasa landskap inovasi negara. Ia juga membuka ruang kerjasama dan jaringan antara institusi pengajian tinggi seperti UiTM dengan agensi kerajaan serta pihak industri yang terlibat dalam ekosistem inovasi nasional.
Disediakan oleh:
Ts. Mohd Rafizi bin Rahmad
JPI UiTM