Putrajaya, 18 Ogos 2025 – Pembentangan Kertas Kerja Penyelidikan (KKP) bagi projek Environmental Neurotoxicity and ADHD Consortium for Translational Research (ENACT) telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Al-Thabrani, tg. 7, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Tujuan pembentangan ini adalah untuk memperincikan objektif penyelidikan dan membentangkan hala tuju konsortium bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek. Projek ini dijangka memberi impak signifikan dalam memperkukuh dasar kesihatan awam, meningkatkan kefahaman saintifik mengenai kesan neurotoksik terhadap perkembangan kanak-kanak, serta menyumbang kepada pembangunan intervensi berkesan bagi menangani isu ADHD di Malaysia dan peringkat global.
Sesi pembentangan telah dipengerusikan oleh YBrs. Puan Yogitha a/p V. Muniandy, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT, KPT. Panel Penilai KKP bagi kumpulan ENACT diketuai oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed Isa Abd Majid.
UiTM melalui Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI) turut diwakili oleh Pengarah ReNeU, Profesor Ts. Dr. Asmah Awal, dan Pengarah RMC, Profesor Dr. Azura Md Ghani, bersama delegasi JPI.
Sebagai kesimpulan, pembentangan ini telah membuka ruang kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan dan rakan penyelidik, sekali gus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan penyelidikan berimpak tinggi. Diharapkan projek ENACT akan mendapat sokongan padu semua pihak bagi merealisasikan hasil penyelidikan yang mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat dan negara.
Disediakan oleh:
Nurulakma Hairoman
Penolong Pendaftar Kanan
Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)