AI-POWERED PRECISION: ELEVATING YOUR MANUSCRIPT TO HIGH IMPACT PUBLICATION READY

AI-POWERED PRECISION: ELEVATING YOUR MANUSCRIPT TO HIGH IMPACT PUBLICATION READY

Shah Alam, 18–19 Ogos 2025 – Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU) telah menganjurkan Bengkel Penulisan AI-Powered Precision: Elevating Your Manuscript to High Impact Publication Ready yang berlangsung selama dua hari di Dewan Al-Ghazali, Bangunan Wawasan UiTM. Program ini menghimpunkan warga akademik dan pelajar pascasiswazah UiTM dengan matlamat memperkukuh kemahiran penulisan saintifik serta memperkenalkan pendekatan baharu berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam penghasilan penerbitan berimpak tinggi.

Hari pertama bengkel memberi tumpuan kepada sesi “Scientific Writing Strategies for Q1/Q2 Journals” yang disampaikan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Ali H. Jawad dari Fakulti Sains Gunaan, UiTM. Beliau merupakan Sarjana berpengaruh yang diiktiraf sebagai Top 1 Q1/Q2 Author (Scopus/WoS) di UiTM serta tersenarai dalam World’s Top 2% Scientists bagi tahun 2022 dan 2023 oleh Elsevier BV. Sesi ini memperincikan strategi penghasilan manuskrip berkualiti tinggi, merangkumi objektif dan etika penulisan saintifik, struktur utama artikel, strategi pemilihan jurnal berdasarkan CiteScore, Impact Factor dan kuartil, serta proses penghantaran manuskrip dan teknik menjawab ulasan editor. Sebanyak 42 orang peserta terdiri daripada pensyarah dan pelajar pascasiswazah telah menyertai sesi ini.

Hari kedua bengkel pula menampilkan sesi “Harnessing AI for Scholarly Excellence” yang dikendalikan oleh Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Ahmad Ihsan Mohd Yassin dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM Shah Alam, dengan bantuan Encik Fairul Nazmie Osman. Sesi ini memberi pendedahan tentang konsep asas, etika penggunaan AI dalam akademia, serta demonstrasi aplikasi AI seperti ChatGPT, Claude, Scite, Scopus AI dan Google Gemini. Peserta turut diperkenalkan kepada teknik prompt engineering, strategi penulisan berkesan berasaskan AI, dan kaedah inovatif menyusun manuskrip agar memenuhi piawaian penerbitan berindeks tinggi. Kehadiran peserta pada sesi ini adalah seramai 41 orang daripada kalangan warga akademik UiTM.

Bengkel ini telah dirasmikan dengan ucapan aluan oleh Profesor Ts. Dr. Asmah Awal, Pengarah Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU), yang menekankan kepentingan inisiatif ini dalam memperkukuh budaya penerbitan berimpak tinggi di UiTM.

Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel dua hari ini berjaya menyampaikan ilmu, strategi dan kemahiran praktikal kepada para peserta, sekali gus membuka dimensi baharu dalam penulisan saintifik. Ia selari dengan aspirasi UiTM untuk terus memperkukuh reputasi sebagai universiti penyelidikan berimpak global melalui penerbitan berkualiti tinggi dan pemanfaatan teknologi AI secara beretika dan strategik.

 

Disediakan oleh:

Nurulakma Hairoman
Penolong Pendaftar Kanan
Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)

 

 
 

Contact Us

Jabatan Penyelidikan & Inovasi
Aras 5,
Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA

 

Tel: 603- 5544 2004  
E-mail : jpi@uitm.edu.my
Hour: 
8.00am - 5.30pm