Putrajaya, 20 Ogos 2025 – Pembentangan Kertas Kerja Penyelidikan (KKP) bagi projek BioSHIELD 5G - Biological Impact Observatory for Safety & Health Investigation in Electromagnetic Deployment (5G) telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Al-Thabrani, Tingkat 7, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Tujuan pembentangan ini adalah untuk memperincikan objektif penyelidikan dan membentangkan hala tuju kajian yang tertumpu kepada penilaian kesan biologi dan fisiologi bergantung kepada frekuensi akibat pendedahan 5G RF-EMF menggunakan fantom dan model haiwan piawai, pembangunan teknologi antena dalam peranti mudah alih bagi meningkatkan prestasi rangkaian serta mengurangkan kadar penyerapan spesifik (SAR) pada peranti generasi baharu, di samping menjalankan penilaian menyeluruh terhadap tahap pendedahan SAR dalam peranti boleh pakai berasaskan 5G pada jalur Sub-6 GHz.
Kajian ini turut memberi perhatian kepada potensi kesan biologi jangka panjang, dengan matlamat memastikan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa seperti ICNIRP, FCC dan IEC/IEEE, serta menyediakan asas saintifik untuk penambahbaikan reka bentuk peranti, garis panduan penggunaan, dan pelaporan kepada pihak pengawal selia.
Sesi pembentangan telah dipengerusikan oleh YBrs. Puan Yogitha a/p V. Muniandy, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT, KPT. Panel Penilai KKP bagi kumpulan BioSHIElD 5G diketuai oleh YBrs. Profesor Ir. Dr. Khairuddin Md. Arshad dan YBrs. Profesor Mohammad Hamiruce Marhaban yang memberikan maklum balas strategik berhubung skop, metodologi, dan impak penyelidikan.
UiTM melalui Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI) turut diwakili oleh Pengarah ReNeU (memangku jawatan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Asmah Awal, dan Timbalan Pengarah RMC, Dr. Ummi Marshida, bersama delegasi JPI. Kehadiran ini menzahirkan komitmen UiTM dalam menyokong penyelidikan berimpak tinggi yang berperanan sebagai rujukan saintifik dalam aspek keselamatan dan kesihatan awam berkaitan penggunaan teknologi 5G di Malaysia.
Pembentangan KKP BioSHIElD 5G menekankan usaha penyelidikan dalam menilai kesan biologi dan tahap pendedahan SAR daripada peranti mudah alih serta boleh pakai berasaskan 5G. Kajian ini memberi fokus kepada pematuhan piawaian antarabangsa, meningkatkan keselamatan pengguna, dan menyokong pembangunan teknologi 5G yang selamat serta berimpak positif kepada masyarakat.
Disediakan oleh:
Nurulakma Hairoman
Penolong Pendaftar Kanan
Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)