Pada 4 September lalu, saya berpeluang mewakili Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) UiTM untuk menghadiri Program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan (MENHAN) bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) di UPM, Serdang. Ia merupakan satu pengalaman yang amat bermakna, jauh daripada rutin kerja harian. Syarahan ini bersempena dengan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Ke-43 yang bakal diadakan pada 13 September 2025.
Syarahan YB Menteri Pertahanan, Dato' Seri Khaled Nordin, amat menarik dan penuh inspirasi. Beliau mengupas tajuk penting, Kepentingan PALAPES ke Arah Memperkasakan Angkatan Masa Hadapan (AMH) Negara. Kupasan beliau menekankan bagaimana peranan pegawai kadet PALAPES bukan sahaja untuk menabur bakti kepada negara melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi juga sebagai tunjang penting dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus utuh. Saya dapat melihat betapa besarnya impak program PALAPES dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berdisiplin dan berwawasan.
Paling menarik perhatian saya adalah sesi soal jawab yang interaktif. Para pegawai kadet PALAPES UA tidak melepaskan peluang untuk bertanya soalan-soalan bernas tentang kerjaya dan masa depan dalam ATM. YB Menteri sendiri, Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan beberapa pegawai kanan kementerian di pentas menjawab setiap soalan dengan teliti dan penuh dedikasi. Sesi ini bukan sahaja memberi pencerahan kepada para kadet, tetapi juga memperlihatkan komitmen pihak kementerian dan tentera dalam membimbing generasi muda.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada TNCPI UiTM atas peluang yang diberikan. Selain menimba ilmu, program ini turut memberi ruang kepada saya untuk bertemu dan berinteraksi dengan rakan-rakan dari universiti awam lain serta pegawai-pegawai kanan tentera. Jalinan kenalan baharu ini amat penting dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan strategik JPI UiTM dengan pihak luar, demi kecemerlangan institusi yang kita cintai ini dan Rumah JPI kerana #RumahIniRumahKITA.
Disediakan oleh:
Ts. Mohd Rafizi bin Rahmad,
Pengarah
Bahagian Pentadbiran Strategi dan Sumber Manusia (BPSSM), JPI