Shah Alam, 8 September 2025 – Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU) telah mengadakan sesi perbincangan bagi menganjurkan Writing Workshop 2025: AI Meets Academia (Zon Utara) bersama delegasi UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau secara atas talian.
Sesi perbincangan ini bertujuan membincangkan peranan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) dalam penulisan akademik yang merangkumi artikel jurnal, prosiding dan laporan penyelidikan, di samping menekankan aspek etika, integriti akademik serta risiko plagiarisme.
Selain memberi tumpuan kepada isu integriti, sesi ini juga berhasrat meningkatkan kemahiran pensyarah dan penyelidik dalam mengintegrasikan teknologi AI sebagai pembantu penulisan, di samping membuka ruang perkongsian pengalaman serta amalan terbaik khususnya daripada warga akademia UiTM Zon Utara meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU), Profesor Ts. Dr. Asmah Awal bersama Timbalan Pengarah serta Koordinator ReNeU. Delegasi UiTM Perlis pula diketuai oleh Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan dan Industri, Prof. Madya Dr. Wan Izhan Wan Ismail.
Melalui sesi ini, dijangkakan seramai tiga puluh (30) staf akademik menghasilkan penulisan akademik melalui panduan AI dan akan dikawal selia oleh penceramah dan fasilitator serta cadangan penerbitan.
Disediakan oleh:
Nurulakma Hairoman
Penolong Pendaftar Kanan
Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)