JPI UITM PERKUKUH KERJASAMA PENYELIDIKAN ANTARABANGSA MELALUI PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT DAN PEMETERAIAN MOU DI BALI

JPI UITM PERKUKUH KERJASAMA PENYELIDIKAN ANTARABANGSA MELALUI PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT DAN PEMETERAIAN MOU DI BALI

Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), terus mengukuhkan komitmennya dalam menjana impak global melalui kolaborasi strategik antarabangsa. Ini dibuktikan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UiTM, Politeknik Negeri Bali (PNB), Perusahaan Umum Daerah (Perumda) Air Minum Tirta Mangutama dan IDEP Selaras Alam dalam program yang bertajuk “Reciprocal Program for International Collaboration of Community Services Program entitled Comprehensive Approaches for Water Conservation Program to Support Green Tourism”.

Program yang berlangsung di Bali pada 17 hingga 20 September 2025 telah menyaksikan penyertaan aktif delegasi UiTM yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), bersama Ts. Mohd Rafizi Rahmad, Ketua Timbalan Pendaftar JPI dan wakil penyelidik serta pemimpin mahasiswa dari Kolej Melati, UiTM.

Kerjasama ini membuka ruang penyelidikan yang amat luas dan signifikan kepada penyelidik UiTM daripada pelbagai disiplin ilmu. Para penyelidik dalam bidang Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau boleh memanfaatkan peluang untuk menjalankan kajian khusus dalam aspek pemuliharaan air, pengurusan sisa dan tenaga mampan. Bagi pakar dalam Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, kerjasama ini menawarkan platform untuk menerokai penyelidikan mengenai fenomena banjir, sistem saliran, serta teknologi pemuliharaan pantai melalui aktiviti penanaman bakau. Di samping itu, penyelidik dari bidang Pelancongan dan Pengurusan Hospitaliti berpeluang membangunkan model pelancongan hijau yang menyeluruh dan mampan, manakala pengkaji Sains Sosial boleh mengkaji keberkesanan khidmat masyarakat, penglibatan komuniti dan dasar awam dalam pemuliharaan alam.

Pemeteraian MoU ini menjanjikan pelbagai manfaat yang signifikan dan jangka panjang kepada UiTM dan para penyelidiknya. Antara faedah utama termasuklah akses kepada perkongsian pakar dan sumber daripada rakan kongsi di Bali, yang merangkumi kepakaran, kemudahan makmal dan infrastruktur penyelidikan yang canggih. Kerjasama ini juga membuka peluang untuk mendapatkan pembiayaan penyelidikan bersama yang didanai oleh pihak antarabangsa, seterusnya membolehkan pelaksanaan projek-projek penyelidikan yang lebih besar dan berimpak tinggi. Di samping itu, kolaborasi ini akan meningkatkan kualiti dan kuantiti penerbitan bersama dalam jurnal antarabangsa berimpak tinggi, serta menyediakan peluang program mobiliti untuk penyelidik dan pelajar UiTM menjalani latihan industri, program pertukaran dan khidmat masyarakat di peringkat global.

Kejayaan ini merupakan bukti jelas fungsi dan peranan JPI UiTM sebagai peneraju dan pemacu utama dalam membentuk jaringan penyelidikan antarabangsa yang kukuh. Inisiatif ini selari dengan hasrat UiTM untuk menjadi universiti berdaya saing global yang menyumbang secara signifikan kepada penyelesaian isu-isu global, khususnya dalam bidang alam sekitar dan kelestarian.
Dengan kerjasama ini, JPI UiTM terus mengorak langkah untuk menjadi Pemangkin Idea dan hab penyelidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekaligus melonjakkan nama UiTM dalam arena global dan JPI khususnya, kerana #RumahIniRumahKITA.

 

Disediakan oleh:

Puan Nur Syazwani Ahamad Azahari
Ts. Rafizi Rahmad CHRM, MMIHRM
Jabatan Penyelidikan dan Inovasi

 

 

Contact Us

Jabatan Penyelidikan & Inovasi
Aras 5,
Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA

 

Tel: 603- 5544 2004  
E-mail : jpi@uitm.edu.my
Hour: 
8.00am - 5.30pm