Putrajaya, 23 September 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) telah mengadakan Sesi Libat Urus bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai tatacara pengiklanan jawatan Pasca Kedoktoran Antarabangsa (International Postdoctoral Scholar) dan Ekspatriat melalui portal MyFutureJobs.
Delegasi UiTM terdiri daripada pasukan RMC dan Bahagian Pengambilan dan Penempatan Staf, Jabatan Sumber Manusia, diketuai oleh Dr. Umi Marshida Abd Hamid, Timbalan Pengarah (Pengurusan Penyelidikan), RMC.
Sesi ini disambut oleh Unit Penggajian Pekerja Asing & Ekspatriat (PAPD) yang diketuai oleh Encik Mohd Wazid Zaidon. Turut hadir ialah Encik Mohd Sophian Harun, Team Lead Penggajian Pekerja Asing & Ekspatriat (PAPD), Tuan Mohd Hasbullah Yunos, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Bahagian Khidmat Ekspatriat (ESD), Encik Asyraful Munzir Ar Alhan, Timbalan Naib Presiden, serta Encik Muhammad Alif Qardawi bin Awang Abdullah, Eksekutif Kanan dari TalentCorp-MyXPATs.
Melalui sesi ini, UiTM berpeluang memahami dengan lebih mendalam:
• Proses tatacara pengiklanan jawatan akademik antarabangsa di portal MyFutureJobs selaras dengan syarat kerajaan.
• Keperluan pematuhan undang-undang pekerjaan dan imigresen bagi ekspatriat.
• Peranan PERKESO, TalentCorp dan Imigresen dalam menyokong mobiliti tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia.
Sesi libat urus ini bukan sahaja memberi pencerahan tentang prosedur teknikal, malah mengukuhkan hubungan strategik antara UiTM dan agensi kerajaan. Usaha ini dijangka mempercepatkan urusan pengambilan bakat global, memperkukuh ekosistem penyelidikan, serta menyokong aspirasi UiTM untuk menjadi universiti bertaraf dunia yang inklusif, kompetitif dan mampan.
Disediakan oleh:
Dr. Eva Salmee Mohd Salleh
Research Management Centre
UiTM Shah Alam