Perbincangan mengenai pelaksanaan Training Needs Analysis (TNA) bagi tahun 2026 telah diadakan pada 14 Oktober 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Ruby, Bangunan Wawasan, UiTM Shah Alam.
Bagi tahun hadapan, Bahagian Pengurusan Sumber dan Strategi Manusia (BPSSM), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) bercadang untuk menjadikan proses TNA lebih bersinergi dan holistik. Proses ini bukan sahaja akan melibatkan maklum balas latihan daripada staf JPI melalui Google Form seperti amalan sebelumnya, tetapi turut diperluaskan kepada maklum balas daripada semua Ketua Pentadbiran Pusat Tanggungjawab (PTJ). Pendekatan ini bertujuan memastikan keperluan latihan serta tahap keberkesanan program dapat dikenal pasti dengan lebih menyeluruh dan berpaksikan kepada keperluan sebenar di peringkat akar umbi.
Hasil perbincangan turut memperlihatkan pelbagai cadangan tajuk serta keperluan latihan yang telah diterima daripada Ketua Pentadbiran utama PTJ di bawah JPI iaitu ReNeU, RMC, BITCOM, ARI, Penerbit UiTM, Unit ICT, UKKP dan BKPP. Seterusnya, BPSSM akan melaksanakan tinjauan menyeluruh bagi mengenal pasti keperluan latihan serta cabaran sebenar yang dihadapi oleh staf, sebelum melalui proses analisis data untuk membentuk Takwim Latihan JPI 2026 yang lebih strategik, berfokus dan berimpak tinggi.
Diharapkan usaha ini dapat memperkukuh budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan warga JPI serta menyokong pencapaian DNA Penyelidikan UiTM melalui latihan yang relevan, berimpak dan berasaskan keperluan sebenar organisasi.
Disediakan oleh:
Haryani Hanip
BPSSM
Jabatan Penyelidikan dan Inovasi
