Program Ukhuwah@PI Siri 9 Tahun 2025 telah berlangsung di Menara Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), UiTM Shah Alam. Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) menjadi tuan rumah penganjuran kali ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin yang dipimpin oleh Dr. Muhammad Nazmul Hoque, Felo Bersekutu di ARI yang diniatkan khusus kepada semua insan-insan yang telah kembali ke rahmatullah.
Seterusnya, Ts. Mohd Rafizi Rahmad, Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber (BPSSM) memperkenalkan staf lantikan baharu di Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) di hadapan warga yang hadir. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Pentadbir UiTM 2024 atas kejayaan yang membanggakan.
Majlis ditutup dengan ucapan oleh Prof. Ts. Dr. Norazah Abd. Rahman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga JPI atas kejayaan merangkul pelbagai anugerah serta penganjuran berimpak tinggi seperti Festival of Ideas (FOI) @ Selangor dan IIDEX 2025.
Beliau turut memaklumkan bahawa CSSR 2025 akan diadakan secara virtual serta menyeru semua warga untuk memberikan sokongan dan kehadiran pada FOI @ Putrajaya yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 8 November 2025.
Dalam pada itu, beliau juga menyuarakan hasrat agar program Inovasihat yang telah selesai dilaksanakan dapat diteruskan pada tahun hadapan sebagai usaha membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga JPI. Beliau berharap agar program Ukhuwah@PI dapat menjadi platform pengukuhan hubungan silaturahim serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan warga yang menjadi tunjang utama penyelidikan dan inovasi.
Disediakan oleh:
Haryani Hanip
BPSSM
Jabatan Penyelidikan dan Inovasi
