UiTM LANCAR DASAR PENYELIDIKAN & INOVASI 2025: MEMACU AGENDA GLOBAL, MENGANGKAT REPUTASI UNIVERSITI BERTARAF DUNIA

UiTM LANCAR DASAR PENYELIDIKAN & INOVASI 2025: MEMACU AGENDA GLOBAL, MENGANGKAT REPUTASI UNIVERSITI BERTARAF DUNIA

Shah Alam, 30 Oktober 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini melancarkan Dasar Penyelidikan dan Inovasi (DPI) UiTM 2025, sebagai pemangkin baharu ke arah memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti agar lebih berdaya saing di peringkat nasional dan global. Pelancaran dasar strategik ini disempurnakan oleh Yang Berusaha Profesor Ts Dr Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) sempena Program Invention, Innovation & Design Exposition (iidex2025) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM.

Pelancaran yang berlangsung bersempena International Invention, Innovation & Design Expo (iidex2025) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) ini menegaskan aspirasi UiTM untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pengetahuan dan inovasi unggul, seiring perkembangan ekonomi digital serta keperluan penyelesaian berasaskan ilmu masa hadapan.

DPI UiTM 2025 diperkenalkan sebagai kerangka strategik menyeluruh yang menyelaraskan keupayaan intelektual, bakat penyelidik, serta kolaborasi nasional dan antarabangsa bagi menghasilkan penyelidikan berintegriti berkualiti tinggi, berimpak besar dan relevan dengan agenda pembangunan negara dan global.Empat objektif strategik DPI UiTM 2025 adalah:

1.    Memperkasa aktiviti penyelidikan merentas disiplin berteraskan integriti dan profesionalisme.
2.    Mengukuhkan jaringan kerjasama strategik dengan institusi dalam dan luar negara.
3.    Mempercepat pemindahan pengetahuan dan inovasi untuk manfaat masyarakat dan pembangunan negara; dan
4.    Menyokong komersialisasi hasil penyelidikan melalui penggunaan teknologi terkini.

DPI 2025 merangkumi enam komponen teras yang utama iaitu Tadbir Urus, Pembangunan Bakat, Jaringan Kerjasama, Hasil Penyelidikan, Latihan & Pemindahan Teknologi dan Etika Penyelidikan yang dirangka untuk memperkukuh research value chain UiTM daripada penciptaan ilmu hingga impak sosial dan ekonomi.

Dengan pelaksanaan terancang dan pemantauan berkala oleh Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI), DPI 2025 akan memastikan UiTM kekal di hadapan dalam agenda penyelidikan dan inovasi, setanding universiti terkemuka di peringkat antarabangsa.

Pelancaran DPI 2025 bukan sekadar memperkenalkan dasar baharu, tetapi merupakan isyarat kesiapsiagaan UiTM untuk melonjak ke fasa transformasi penyelidikan global, mengangkat reputasi universiti sebagai peneraju ilmu, pemikir masa depan dan pusat inovasi bertaraf dunia.

“DPI UiTM 2025 menjadi nadi penggerak generasi penyelidik dan inovator masa hadapan – bukan sahaja untuk menghasilkan penemuan baharu, tetapi mencipta impak, solusi dan nilai kepada negara serta dunia.”

 

Dasar Penyelidikan dan Inovasi UiTM

 

Disediakan oleh:

Dr. Eva Salmee Mohd Salleh
Research Management Centre
UiTM Shah Alam

 
 

Contact Us

Jabatan Penyelidikan & Inovasi
Aras 5,
Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA

 

Tel: 603- 5544 2004  
E-mail : jpi@uitm.edu.my
Hour: 
8.00am - 5.30pm