Seremban, 13 Ogos 2026 – Penerbit UiTM telah mengadakan kunjungan hormat ke Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama, meneroka potensi penerbitan, memperluas promosi karya terbitan Penerbit UiTM serta meningkatkan akses komuniti setempat kepada bahan bacaan berkualiti.
Penerbit UiTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Norhayati Ismail, Ketua Unit Perolehan serta warga PPANS atas kesudian menerima kunjungan Penerbit UiTM yang diketuai oleh Pengarah, YBrs. Profesor Sr. Ts. Dr. Zulhabri Ismail. Kunjungan tersebut turut disertai oleh Dr. Nafisah Khalid, Timbalan Pengarah (Perolehan & Pemasaran), Puan Nur Farabiyah Shamsudin, Timbalan Pengarah (Penerbitan), dan Puan Fatin Amalina Rohadi, Ketua Unit Pentadbiran.
Kunjungan ini menjadi platform untuk perkongsian maklumat berkaitan pembangunan bahan koleksi perpustakaan, termasuk kaedah pemilihan dan penilaian bahan terbitan. Input yang diperoleh memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada Penerbit UiTM dalam merancang pendekatan penerbitan dan pemasaran yang lebih strategik.
Usaha yang dilaksanakan ini mencerminkan komitmen berterusan Penerbit UiTM dalam memperkukuh hubungan strategik dengan institusi perpustakaan serta membuka ruang kerjasama yang dapat meningkatkan keterlihatan dan capaian karya terbitan Penerbit UiTM kepada pembaca dan komuniti setempat.
Disediakan oleh:
Dr. Nafisah Khalid
Timbalan Pengarah (Perolehan dan Pemasaran)
Penerbit UiTM
