Pada 27 Ogos 2026, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menyertai Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) sempena National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
UiTM telah diwakili oleh Profesor Ir. Ts Dr. Juliana Johari, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), manakala MTDC diwakili oleh Ts. Hj. Mohammad Hazani Hj. Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) MTDC.
Majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) tersebut telah disaksikan oleh YB Dato' Dr. Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Pertukaran MoA ini menjadi simbol komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi mempercepatkan pemindahan teknologi, pembangunan inovasi, pengkomersialan hasil penyelidikan serta memperluaskan jaringan kolaborasi antara institusi akademik dan industri.
Melalui Memorandum Perjanjian (MoA) ini, UiTM dan MTDC akan bekerjasama dalam pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, pengkomersialan produk penyelidikan, pembangunan syarikat pemula (start-up) dan syarikat spin-off, pemerkasaan ekosistem inovasi serta penerokaan peluang pembiayaan dan akses pasaran. Kerjasama ini turut menyediakan platform kepada penyelidik dan inovator UiTM untuk memanfaatkan kepakaran serta rangkaian industri yang dimiliki oleh MTDC.
Majlis ini merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan industri serta menyokong agenda negara untuk meningkatkan kadar pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan. Melalui kolaborasi ini, UiTM berupaya memperluaskan impak penyelidikan dan inovasi ke peringkat industri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.
Disediakan oleh:
Nur Affini Mohd Sakhaf
BITCOM
