SESI ON THE JOB TRAINING (OJT) – PENYEDIAAN MNIT MESYUARAT

SESI ON THE JOB TRAINING (OJT) – PENYEDIAAN MNIT MESYUARAT

Sesi On the Job Training (OJT) berkaitan Penyediaan Minit Mesyuarat telah diadakan pada 11 September 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI), Aras 5, Canseleri, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Sesi tersebut telah disampaikan oleh Ts. Mohd Rafizi Rahmad, Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia (BPSSM) kepada staf lantikan baharu di BPSSM.

Sesi OJT ini bertujuan memberikan pendedahan dan pemahaman yang lebih menyeluruh kepada peserta berkaitan proses serta prosedur pengurusan dan penyediaan minit mesyuarat yang sistematik dan tepat, serta berpandukan punca kuasa yang ditetapkan. Sesi ini turut membincangkan kepentingan pengurusan mesyuarat yang berkesan dalam memastikan setiap keputusan, ketetapan dan tindakan susulan mesyuarat direkodkan dengan jelas serta dapat dijadikan rujukan rasmi organisasi.

Dalam sesi tersebut, Pengarah BPSSM telah menekankan kepentingan merujuk kepada punca kuasa pengurusan mesyuarat dalam perkhidmatan awam, antaranya Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 2 Tahun 1991 serta Arahan Pentadbiran Ketua Pengarah MAMPU Bilangan 6 Tahun 2014. Sesi tersebut turut merangkumi pengurusan mesyuarat pada peringkat sebelum, semasa dan selepas mesyuarat, termasuk aspek persediaan, pengendalian serta tindakan susulan bagi memastikan mesyuarat dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

Sesi OJT turut mengetengahkan beberapa panduan dalam mencatat minit mesyuarat, khususnya kepentingan memahami tujuan dan konteks mesyuarat, berdasarkan struktur Cadangan, Perbincangan dan Keputusan, khususnya dalam penyediaan minit mesyuarat rasmi UiTM seperti Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Senat. Penekanan diberikan kepada penyusunan kandungan mengikut agenda serta penggunaan kata kerja yang bersesuaian.

Di samping itu, perkara yang turut dibincangkan ialah kepentingan mematuhi tempoh penyediaan dan edaran minit, iaitu draf minit hendaklah dikemukakan kepada Pengerusi Mesyuarat untuk kelulusan dalam tempoh tiga (3) hari selepas mesyuarat, manakala minit yang telah diluluskan perlu diedarkan dalam tempoh tidak melebihi satu (1) minggu. Pematuhan terhadap tempoh tersebut penting bagi memastikan rekod keputusan dan tindakan susulan dapat disampaikan kepada pihak berkaitan dengan segera serta memudahkan tindakan lanjut diambil.

Secara keseluruhannya, sesi OJT ini memberikan pendedahan yang bermanfaat kepada peserta dalam memahami pengurusan mesyuarat dan penyediaan minit secara lebih teratur dan sistematik. Pengetahuan serta panduan yang diperoleh diharapkan dapat diaplikasikan dalam pelaksanaan tugas harian bagi menyokong pengurusan dan dokumentasi mesyuarat yang lebih berkesan di UiTM khususnya di JPI.

 

Disediakan oleh:

Hanis Yasmin Hamdan
BPSSM
Jabatan Penyelidikan dan Inovasi

Contact Us

Jabatan Penyelidikan & Inovasi
Aras 5,
Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA

 

Tel: 603- 5544 2004  
E-mail : jpi@uitm.edu.my
Hour: 
8.00am - 5.30pm