Program Staff Career Empowerment Siri 8/2026 telah diadakan pada 21 September 2026 bertempat di Bilik Seminar IoS, Kompleks Inspirasi, UiTM Shah Alam dengan menampilkan Puan Haryani Hanip, Pegawai Eksekutif di BPSSM, JPI sebagai penceramah. Seramai 27 orang peserta telah menyertai program ini, terdiri daripada staf pentadbiran daripada pelbagai jawatan dan skim perkhidmatan.
Di awal sesi perkongsian, Puan Haryani Hanip berkongsi latar belakang diri, sejarah perkhidmatan serta pengalaman beliau sepanjang berkhidmat dalam sektor swasta dan sektor awam. Pengalaman tersebut menjadi antara faktor yang membentuk diri beliau untuk sentiasa bekerja dengan pantas, cekap dan teliti dalam melaksanakan tanggungjawab. Beliau turut menekankan kepentingan doa dan restu ibu bapa sebagai sumber kekuatan serta keberkatan dalam menjalani kehidupan seharian.
Seterusnya, penceramah berkongsi pengalaman pertemuan pertama beliau bersama Encik Muhammad Adib Ibrahim, Penolong Pendaftar BPSSM, JPI ketika pertama kali melapor diri di UiTM. Pertemuan tersebut menjadi antara titik permulaan yang memberi inspirasi kepada beliau apabila diberikan kepercayaan disertai harapan yang tinggi dalam melaksanakan tugas. Kepercayaan tersebut menjadi pemangkin kepada beliau untuk terus melaksanakan amanah dengan penuh komitmen dan tanggungjawab sehingga kini.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada kepentingan memperbaiki cara kerja dan meningkatkan nilai diri dalam membina kerjaya. Penceramah menggalakkan peserta untuk melihat setiap masalah atau cabaran sebagai peluang untuk mencuba dan belajar. Menurut beliau, pengalaman mencuba dan melaksanakan sesuatu perkara secara sendiri dapat meningkatkan kefahaman terhadap sesuatu situasi, di samping boleh dijadikan rujukan kepada orang lain.
Tambahan pula, peserta disarankan untuk berani mencuba perkara baharu sebagai usaha menambah nilai diri dan mengembangkan potensi serta bakat yang dimiliki. Para peserta digalakkan untuk berani berkata “ya” apabila diberikan tugasan atau tanggungjawab baharu kerana itu mungkin menjadi titik permulaan kepada segala ruang dan peluang kepada pengalaman yang baharu.
Tuntasnya, perkongsian menerusi program Staff Career Empowerment ini telah memberikan inspirasi dan motivasi kepada warga JPI yang menyertainya. Program ini bukan sekadar menjadi wadah perkongsian pengalaman, malah menyuntik semangat kepada warga JPI untuk terus aktif menyumbang tenaga, idea dan kepakaran dalam melaksanakan tanggungjawab seterusnya bersama-sama menyokong aspirasi UiTM dalam merealisasikan UiTM 2030.
Disediakan oleh:
Syed Muhammad Ikhwan bin Syed Mazlan
BPSSM
Jabatan Penyelidikan dan Inovasi
