SHAH ALAM, 4 September 2026 – Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya menganjurkan Program Larian Kebangsaan Malaysia MADANI 2026: “Perpaduan Dalam Kemajuan” yang berlangsung di Dataran Kolej Mawar, UiTM Shah Alam.
Program yang berlangsung dengan penuh meriah ini telah menghimpunkan seramai 144 peserta daripada 22 Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah JPI, dengan penyertaan keseluruhan sebanyak 16 kontinjen. Penyertaan ini mencerminkan komitmen warga JPI dalam menyemarakkan semangat patriotisme, menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan dan kerjasama antara PTJ. Angka penyertaan ini menjadi antara pencapaian penting program dan memperlihatkan sokongan warga JPI terhadap usaha memperkukuh budaya kerja yang sihat, aktif dan berteraskan semangat “Perpaduan Dalam Kemajuan”.
Acara dimulakan dengan sesi senaman regangan (warm-up) serta laungan sorakan daripada para kontinjen sebelum para peserta dilepaskan untuk menyertai larian yang melalui beberapa lokasi sekitar kampus UiTM Shah Alam. Laluan larian merangkumi kawasan Bulatan Seksyen 7, Fakulti Alam Bina, Akademi Palapes, Padang Kawad, Pusat Sukan dan Kolej Teratai, sebelum peserta kembali ke garisan penamat di Dataran Kolej Mawar.
Program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti antaranya demonstrasi pemadaman kebakaran dan menyelamat, pameran jentera serta peralatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sesi interaksi bersama pegawai JBPM dan pertandingan PTJ Paling Patriotik.
Penglibatan JBPM sebagai rakan strategik turut memberikan nilai tambah kepada program melalui perkongsian ilmu berkaitan aspek keselamatan, pencegahan kebakaran dan tindakan menyelamat, di samping memberi peluang kepada peserta untuk melihat dengan lebih dekat jentera serta peralatan yang digunakan dalam operasi JBPM.
Program ini bukan sahaja menjadi wadah untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, malah turut menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga JPI. Penyertaan yang melibatkan pelbagai PTJ juga mewujudkan ruang untuk warga JPI berinteraksi dalam suasana santai, sekaligus mengeratkan silaturahim dan semangat kekitaan.
JPI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan JPI serta seluruh warga JPI dan semua PTJ yang mengambil bahagian serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan Program Larian Kebangsaan Malaysia MADANI 2026 ini.
Program ini diharapkan dapat terus menjadi platform untuk menyatukan warga JPI melalui aktiviti yang menggabungkan elemen patriotisme, kecergasan, keselamatan dan kebersamaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Disediakan oleh:
Siti Farah Wahidah Binti Mohamed Saki
Pegawai Eksekutif
Bahagian Pentadbiran Strategik & Sumber Manusia (BPSSM)
