Pada 16 April 2025, delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diketuai oleh Prof. Ir. Ts Dr Mohamad Hafiz Mamat, Timbalan Rektor (PJI), UiTM Cawangan Selangor telah membuat lawatan industri ke CG Computers Sdn Bhd atau dikenali sebagai Switch iaitu syarikat peruncit IT yang terbesar di Malaysia. Lawatan ini dijalankan bersempena Mesyuarat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) bersama Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Timbalan Dekan (Penyelidikan & Jaringan Industri) dan Timbalan Rektor (Penyelidikan & Jaringan Industri) (MeTPI- 13) 2025 yang diadakan pada 14 hingga 18 April 2025 di Pulau Pinang pada tahun ini.
Lawatan ini bertujuan untuk mengadakan perbincangan strategik serta pertukaran pandangan bagi memperkukuh kerjasama dalam aktiviti penyelidikan dan inovasi selain tawaran pembelian secara ansuran yang menarik bagi pelajar dan program pembangunan pendidikan yang dijalankan di UiTM Cawangan Pulau Pinang. Usaha ini merupakan kesinambungan hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara UiTM dan CG Computers Sdn Bhd pada 15 Januari 2024.
Delegasi UiTM ini turut disertai oleh Prof. Dr. Razana Juhaida Johari, Timbalan Dekan (P&I) Fakullti Perakaunan, Prof. Madya Ts. Dr. Saiful Izwan Suliman, Ketua Unit Data Penyelidikan & Inovasi, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof. Madya Dr. Mohd Rizaimy Shaharudin, Timbalan Rektor (PJI), UiTM Cawangan Kedah, Prof. Madya Dr Shamila Mohamed Shuhidan yang menjalankan Tugas Dekan (P&I) Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Dr Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor (PJI), UiTM Cawangan Kelantan, Puan Khairunnisa Musa, Ketua Unit ICT dan juga Puan Norazlin Suboh, Ketua Unit Operasi Penyelidikan, RMC.
Delegasi ini telah disambut mesra oleh En. Karim Jerome Bahari, Advocacy Manager, En. Moses Kwok, Corporate Sales Executive dan En. Mohammad Hafeez Danial, Higher Education Advocacy Lead, CG Computers Sdn Bhd.
Antara perbincangan utama termasuk usaha mempergiat latihan, pembangunan pendidikan dan penyediaan fasiliti kepada warga UiTM. Selain itu, turut dibincangkan adalah perkongsian kepakaran dalam teknologi Artificial Intelligence (AI), Augmented Reality (AR) serta pembangunan aplikasi menggunakan teknologi Apple bersama UiTM. CG Computers Sdn Bhd juga menawarkan peluang sangkutan pensyarah dan latihan industri kepada pelajar UiTM.
Delegasi UiTM juga menerangkan peluang kolaborasi melalui penglibatan langsung antara penyelidik dan pihak industri sebagai rakan strategik dalam pemindahan teknologi, penyelesaian masalah dan insentif pengurangan cukai kepada industri melalui Geran Padanan. Kerjasama ini diharap dapat memberikan manfaat kepada komuniti seterusnya memperkasakan ekosistem penyelidikan dan inovasi di universiti.
Disediakan oleh:
Norazlin Haji Suboh
Ketua Unit Operasi Penyelidikan
Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC)